Utama
Benarkan Kelab Penyokong PAS bertanding PDF Print E-mail
Ditulis Oleh JITP   
Sunday, 17 August 2008
 
 IPOH, 16 Ogos – Suasana rancak semasa membahaskan Ucapan Dasar Presiden menjadi sedikit gamat apabila perwakilan dari Melaka iaitu Ustaz Kamaruddin Haji Sidek berseloroh mengatakan Melaka hendak meminta wang ehsan dari Kelantan dan Kedah kerana semasa PAS Melaka bersolat hajat, mereka telah berdoa memohon kemenangan untuk Kelantan, Terengganu dan Kedah sehingga terlupa untuk berdoa untuk negeri sendiri.
 Beliau kemudiannya mengucapkan tahniah kepada PAS Pusat yang akan menubuhkan platform yang baru untuk orang-orang bukan Islam bergiat di dalam PAS.

Ucapan terima kasih juga beliau hulurkan kepada ahli-ahli Kelab Penyokong PAS yang telah memberikan sokongan kepada PAS.

"Dalam sejarah Islam juga ada orang-orang bukan Islam yang membantu dalam perjuangan Islam misalnya kisah seorang bukan Islam yang menunjukkan jalan kepada Nabi Muhammad s.a.w. semasa Nabi berhijrah," kata beliau.

Beliau menyarankan agar golongan ini diraikan misalnya dengan melantik mereka sebagi penghulu mukim (seperti mana di Kelantan). Dalam hal ini beliau tidak bersetuju jika mereka diterima sebagai ahli bersekutu atau pun dinaikkan menjadi dewan.
 
"Parti perlu mencari inisiatif lain dan perlu berhati-hati dalam menangani hal tersebut," saran beliau.
 
"PAS Melaka mencadangkan agar parti berbincang untuk membenarkan Kelab Penyokong PAS diberi ruang untuk bertanding di atas tiket dan simbol PAS tanpa perlu menjadi ahli bersekutu ataupun ahli dewan," sarannya lagi.

Selanjutnya Ustaz Kamaruddin menyarankan agar pimpinan pusat memperjelaskan dengan spesifik mengenai Pakatan Rakyat yang dibentuk misalnya apakah hala tujunya dan siapakah yang mengetuainya?

Persoalan-persoalan ini boleh menyebabkan kekeliruan kepada ahli terutamanya di peringkat akar umbi. Kata beliau, permasalahan ini telah menyebabkan ada di kalangan ahli yang bertahaluf siasi yang melampaui batas.

Ujarnya lagi ada ahli PAS yang menyertai PKR untuk membantu mencukupkan forum bagi tujuan menubuhkan cawangan PKR, tindakan tersebut jelas bertentangan dengan perlembagaan parti.  Natijahnya ahli tersebut boleh dibuang kerana mempunyai dua identiti.

Selain itu, beliau turut menyentuh soal cawangan PAS yang semakin berkurangan.

"PAS Melaka juga mendesak PAS Pusat agar mengadakan konvensyen untuk berbincang sejauh mana tahaluf siasi perlu diadakan".
 
Perwakilan kemudiannya mencadangkan agar Kerajaan Pakatan Rakyat mengadakan satu formula penjimatan yang boleh membantu Negeri-negeri yang bermasalah terutama dalam bidang ekonomi.

Beliau mencadangkan agar usaha mencari pelabur asing diwakili oleh sebuah Negeri di dalam satu-satu lawatan perdagangan.
 
"Harapkan agar kepimpinan pusat terus istiqamah dan mempunyai izzah perjuangan yang tidak mudah tunduk dengan desakan ahli-ahli bawahan untuk memecat Timbalan Presiden ekoran isu muqabalah dengan UMNO, semoga perkara ini ditangani dengan baik untuk memastikan keadaan di dalam parti tidak menjadi semakin keruh." ujarnya mengakhiri perbahasan.
 
< Prev   Next >
© 2018 Muktamar PAS ke-54
Jabatan IT PAS Pusat