Utama arrow Dewan Pemuda arrow Muktamar Pemuda PAS kembali ke tempat pemuda dilahirkan
Muktamar Pemuda PAS kembali ke tempat pemuda dilahirkan PDF Print E-mail
Ditulis Oleh Roy Rasul & Anis Nazri | Foto Nasir Sudin   
Thursday, 14 August 2008

ImageIPOH, 13 Ogos (Hrkh) - Muktamar Pemuda PAS tahun ini menempa sejarahnya yang tersendiri apabila ia diadakan di negeri Perak, di mana negeri Pemuda PAS dilahirkan, sekaligus menyambut ulangtahunnya yang ke-55.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata perhimpunan yang diadakan di negeri yang diperintah Pakatan Rakyat ini adalah satu medan yang dapat dimanfaatkan untuk melontar kritikan dan membangunkan idea-idea yang membina.

Mengimbau kembali kelahiran Pemuda PAS, Salahuddin berkata pada 25 Ogos 1953, di Madrasah al-Ulum as-syar'iyyah, Batu 20, Bagan Datoh, satu Kongres Pemuda Islam dianjurkan PAS telah diadakan, yang dihadiri pemuda-pemuda Islam di seluruh pelusuk negara.

Tambah beliau, melalui kongres inilah Dewan Pemuda PAS berjaya ditubuhkan, serta hari ini, kurang 12 hari dari tarikh lahirnya Dewan Pemuda, badan ini kembali semula ke bumi bertuah untuk memperbaharui tekad dan meneruskan idealisme dalam menegakkan Islam di negara ini. Image

"Sepanjang tempoh 55 tahun kita melalui pelbagai ranjau dan cabaran. Kita pernah bangun dan berada di puncak kejayaan. Kita pernah rebah, jatuh dan tersungkur dalam perjuangan.

Tersungkur kita mencium pasir, terlentang kita minum embun, tetapi direndam kita tidak reput, dibakar tidak hangus, patah sayap kita bertongkat paruh, namun mengalah sama sekali tidak," kata beliau dengan penuh puitis, di hadapan kira-kira 500 perwakilan dan pemerhati.

Dalam pada itu, Salahuddin menyeru barisan pemuda mengukuhkan tekad perjuangan ketika berada dalam nikmat kejayaan ini.

Sempena ulangtahun ke-55 perjuangan Pemuda, beliau berkata Pemuda perlu membuat koreksi diri demi memastikan perjuangan agar sentiasa berada dalam landasan yang betul.

Sementara itu, Muktamar Pemuda PAS dirasmikan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, yang turut dihadiri Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang dan Mohamad Sabu; Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar; Bendahari, Dr Mohd Hatta Ramli; Ketua Penerangan, Mahfuz Omar dan Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato' Mustafa Ali.

Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin; Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin; Ketua Pemuda DAP,Nga Kor Ming dan tetamu khas dari Indonesia.

Selain wakil Pakatan Rakyat, turut hadir ialah NGO seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), JIM, ABIM, dan Kelab Penyokong PAS.
 
< Prev   Next >
© 2018 Muktamar PAS ke-54
Jabatan IT PAS Pusat