Utama arrow Dewan Pemuda arrow Pemimpin PAS perlu jadi pemain utama, bukan lagi di pinggiran
Pemimpin PAS perlu jadi pemain utama, bukan lagi di pinggiran PDF Print E-mail
Ditulis Oleh Mohd Nor Yahya | Foto Nasir Sudin   
Thursday, 14 August 2008
 
IPOH, 13 Ogos -  PAS telah melalui satu era perjalanan dan pengalaman politik yang cukup panjang di mana kewujudannya seangkatan dengan Umno.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub berkata, berbekalkan khazanah pengalaman dan menekuni liku sejarah sudah sampai masanya pimpinan PAS mengambil peranan memimpin dan bukan lagi sebagai pemain di pinggiran dalam percaturan politik tanah air.

"PAS yang didukungi lebih sejuta ahli dewasa ini, berbekalkan dengan sifat ketakwaan yang menjadi teras kekuatan perjuangan.

"Kepintaran pimpinan PAS biarlah berbisa, sentuhan politiknya mestilah mengakar ke bumi dan menggapai ke langit.

"Dari lipatan sejarah kita pelajari politik adalah seni yang serba mungkin, kita pelajari keindahan dan kepincangannya," kata beliau pada ucapan dasar sempena perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS kali ke-49 di Stadium Indera Mulia malam ini.

ImageBeliau berkata, ramai tokoh-tokoh dunia yang rebah dan bangun di atas persada politik kerana permainan dan percaturan politik.

"Ambillah iktibar di antara kewarakan Abu Musa al-Asyaari dengan kelincikan 'Amru bin Al-'AS," ujarnya.

Beliau juga berkata, kita mesti mula belajar berfikir tentang rakyat seluruhnya termasuk juga kebajikan bangsa bukan Melayu.

Katanya, kita hendaklah memberati kepentingan orang bukan Islam dengan menjuarai isu-isu bukan agama dan prihatin terhadap mereka.

Selain itu beliau berkata, PAS perlu meninjau sama persoalan-persoalan yang lebih besar mengenai pentadbiran negara, pengurusan ekonomi dan perancangan dasar-dasar awam.

Oleh itu katanya, ahli-ahli pemuda mesti sentiasa memperdalami ilmu dalam pelbagai bidang dan tidak terhenti dengan kemahiran agama yang menjadi fardhu ain sahaja.

Sebaliknya mereka juga perlu mempunyai kemahiran keduniaan yang menjadi fardhu kifayah.

Beliau juga berkata, Dewan Pemuda PAS sudah menubuhkan Pusat Latihan Akademi Kepimpinan Pemuda (AKP) iaitu berpusat di Kelantan.

Kata beliau, mulai bulan hadapan, latihan-latihan intensif akan dilaksanakan kepada kepimpinan pemuda peringkat negeri dan kawasan bagi mengikuti kursus jangka pendek. -harakah
 
< Prev   Next >
© 2018 Muktamar PAS ke-54
Jabatan IT PAS Pusat