Utama arrow Dewan Pemuda arrow 238 perwakilan hangatkan muktamar Pemuda hari ini
238 perwakilan hangatkan muktamar Pemuda hari ini PDF Print E-mail
Ditulis Oleh Lanjusoh   
Thursday, 14 August 2008

 IPOH, 14 Ogos - Muktamar penuh Dewan Pemuda PAS Pusat bermula kira-kira jam 8.45 pagi tadi yang dimulakan dengan celoteh Pengerusi Tetap, Ustaz Misbahul Munir.

Stadium Indera Mulia yang terletak di tengah-tengah bandar raya Ipoh sekali lagi bergema dengan perbahasan dan muhasabah anggota-anggota Dewan Pemuda PAS Pusat selepas perasmiannya disempurnakan malam tadi oleh Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa.

Pagi ini seramai 238 perwakilan di mana 17 orang mewakili setiap negeri, 25 exco dan tujuh pengarah jabatan di bawah Dewan Pemuda PAS Pusat menghadiri muktamar kali ke-49 yang diadakan.

Ipoh yang baru bernaung di bawah kerajaan Pakatan Rakyat mencatat sejarah tersendiri apabila ribuan perwakilan PAS menyendatkan bandar raya ini mulai semalam sehingga 17 Ogos ini.

Malah hari ini juga berlangsung muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat dan Dewan Muslimat PAS Pusat yang diadakan di tempat berlainan.

Kemeriahan suasana bermuktamar hampir sama dengan apa yang berlaku di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) dan Kedah sebelum ini.

Ekspo jualan yang diadakan di perkarangan Stadium Indera Mulia menawarkan pelbagai jenis barangan termasuk kereta terbaru keluaran Proton.

Juga kelihatan khemah-khemah berwarna merah yang didirikan di kawasan stadium, memperlihatkan kawasan muktamar seperti tempat perkelahan, yang jarang disaksikan di tempat lain.

Malah, kedai-kedai makanan yang terdapat di sekitar tempat bermuktamar dipenuhi lelaki berkopiah dan wanita bertudung labuh.

 
< Prev   Next >
© 2018 Muktamar PAS ke-54
Jabatan IT PAS Pusat