Utama arrow Dewan Muslimat arrow Muslimat digesa prihatin terhadap 'bargaining power' wanita
Muslimat digesa prihatin terhadap 'bargaining power' wanita PDF Print E-mail
Ditulis Oleh Roy Rasul & Nuha Rahim   
Friday, 15 August 2008


IPOH, 14 Ogos  -
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh berkata, rata-rata pengundi wanita kini bertambah cerdik kerana mereka berpendidikan.

Justeru itu katanya, tanggungjawab muslimat bertambah berat dan penting dalam mendidik masyarakat dan generasi masa depan.

Katanya, keterlibatan wanita yang mendominasi di institut pengajian tinggi, baik sebagai tenaga pensyarah mahupun pelajar perlu diambil berat oleh Muslimat PAS.

Begitu juga katanya, di sektor awam dan perkhidmatan mula menampakkan wanita memonopoli suasana tenaga kerja.

"Gambaran ini menunjukkan juga bahawa pada dekad akan datang wanita adalah kuasa penentu 'bargaining power' kepada suasana politik negara.

"Ini jelas ditunjukkan di dalam statistik Guna Tenaga Wanita Malaysia 2006 dan personel Sektor Awam mengikut Kumpulan Perkhidmatan dan Jantina 2006," katanya dalam ucap tema Muktamar Dewan Muslimat PAS ke-48 yang diadakan di Hotel Hillcity, Jalan Gopeng dekat sini hari ini.

Oleh itu, beliau mengajak Muslimat PAS dan seluruh wanita Malaysia yang prihatin dalam pelbagai sektor pekerjaan dan kerjaya, profesional, ahli korporat, cerdik pandai, tokoh politik dan akademik untuk bersama perkukuhkan parti.

Dalam ucaptamanya yang bertajuk, 'Mengisi Kemenangan, Melestari Kebajikan' di hadapan kira-kira 700 hadirin, beliau memulakan ucapannya dengan topik mengisi kemenangan dengan ruh Islam.

Ucapan beliau setebal 22 muka surat itu mengandung 27 topik dengan menyentuh isu-isu terkini antaranya, peranan Muslimat berganding bahu melaksanakan amanah, kesedaran dan penghayatan beragama, sektor institusi keluarga, sektor kesihatan, pendidikan, ekonomi, media, hubungan luar, sektor ICT, Gelagat pemimpin Umno yang terdesak kini dan muqabalah PAS - Umno.

Turut mendapat sentuhan dalam ucapannya ialah , melestari kebajikan, melebar sokongan dan menggiatkan konsep 'PAS for All' serta ketrampilan dan imej remaja Islam.

Sementara itu, Nuridah berkata, Dewan Muslimat menyedari peranan media begitu hebat dalam membentuk minda dan hala tuju rakyat negara ini.

Namun katanya, pengamal media yang hanya mementingkan keuntungan niaga dan juga kepentingan tuan punya pemegang-pemegang saham mereka akan merosakkan kesejahteraan masyarakat.

Dalam ucapannya itu beliau juga berkata, Muslimat PAS akan turun ke Permatang Pauh untuk membantu jentera pilihan raya Pakatan rakyat untuk membantu kemenangan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang bertanding dalam pilihan raya kecil bagi parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.

Sehubungan itu katanya, pada hari penamaan calon yang akan diadakan pada 16 Ogos ini Dewan Muslimat akan menghantar wakilnya biarpun Muktamar PAS masih berlangsung.

Beliau juga berkata, tindakan bekas ahli parlimen Permatang Pauh, Dato' Seri Dr Wan Azizah Ismail yang melepas jawatan tersebut bagi memberi lauan kepada Anwar adalah satu tindakan yang terpuji dan menepati tuntutan semasa.

Dalam pada itu, semasa mengakhiri ucapannya Nuridah menyeru ahli di seluruh peringkat supaya beristiqamah dengan perjuangan serta melaksanakannya bersungguh-sungguh.
 
< Prev   Next >
© 2018 Muktamar PAS ke-54
Jabatan IT PAS Pusat