Utama arrow Dewan Muslimat arrow Hampir 700 hadirin Muktamar Dewan Muslimat di Hillcity
Hampir 700 hadirin Muktamar Dewan Muslimat di Hillcity PDF Print E-mail
Ditulis Oleh Nuha Rahim & Roy Rasul   
Friday, 15 August 2008

IPOH, 14 Ogos - Persidangan Dewan Muslimat PAS ke-48 yang bertemakan 'Mengisi Kemenangan, Melestari Kebajikan' dimulakan dengan upacara perbarisan kehormat oleh Unit Amal Malaysia seramai 24 orang kira-kira jam 8 pagi tadi.

Upacara tersebut diadakan di hadapan pekarangan Hotel Hillcity, Jalan Gopeng dekat sini yang menjadi tempat berlangsungnya muktamar Dewan Muslimat hari ini.

Ketua Dewan Muslimat, Ustazah Nuridah Salleh bersama timbalannya merangkap penyelaras muktamar kali ini, Wan Hasrina Wan Hassan menyambut kehadiran para tetamu khususnya tetamu-tetamu khas termasuklah isteri Menteri Besar Perak, Puan Seri Fatimah Taat, Ketua Wanita Parti KeADILan Rakyat, Zuraidah Kamaruddin dan wakil DAP, Lim Pek Ha serta veteran PAS, Subky Latif.

Persidangan ini diperhatikan oleh tiga wakil dari Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Amiruddin Hamzah dan Mazlan Aliman.

Kelihatan juga kehadiran Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu bersama isterinya, Normah Alwi berbaju warna 'turqoise' sedondon.

Muktamar yang dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu rasmi PAS.

Seterusnya, disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Johan Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan kategori qariah, Sharifah Khasif Fadilah Syed Mohd Badiuzzaman.

Muktamar kali ini menyaksikan seramai kira-kira 700 hadirin termasuk 250 perwakilan yang datang dari seluruh negara.

Para hadirin turut dihidangkan dengan persembahan montaj Dewan Muslimat PAS, persembahan multimedia khas dan pelancaran Majalah Muslimah.

Sebelum itu, Ustazah Nuridah menyampaikan ucaptama sejurus ucapan aluan daripada penyelaras muktamar, Wan Hasrina dan ucapan daripada Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi. -harakah
 
< Prev   Next >
© 2018 Muktamar PAS ke-54
Jabatan IT PAS Pusat