Utama arrow Dewan Ulamak arrow Isu sensitif dan kontroversi matangkan semua peringkat parti
Isu sensitif dan kontroversi matangkan semua peringkat parti PDF Print E-mail
Ditulis Oleh Intan Abdullah   
Friday, 15 August 2008

IPOH, 14 Ogos - Hikmah di sebalik kegawatan isu-isu sensitif dan kntroversi yang timbul membabitkan parti itu beserta parti-parti komponen Pakatan Rakyat dilihat akan mematangkan kepimpinan dan ahli PAS.

Kenyataan tersebut ditegaskan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Nik Zawawi Salleh sambil menyatakan ianya sebagai suatu situasi yang positif dan memberangsangkan.

"Isu-isu ini akan mematangkan ahli dan kepimpinan parti sehingga kita melihat ahli-ahli kita sekarang ini hangat berbincang mengenai isu yang besar dan berisi di kedai-kedai kopi," katanya pada slot Sesi Cakap-Cakap WebtV PAS menerusi satu rakaman tertunda di studio Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat bersama Pengarang Berita Harakah, Tarmizi Mohd Jam petang tadi.

Malah katanya lagi, persidangan tahunan dewan ulama pada kali ini turut berupaya menarik perhatian banyak pihak khususnya para media massa.

"Ahli kita sekarang berbincang mengenai perkara besar dan serius di kedai kopi, sekaligus mengelakkan mereka daripada bercakap hal-hal yang tidak berfaedah," katanya.

Mengulas berhubung isu muzakarah dan muqabalah, beliau menyatakan kehairanan kesungguhan pihak tertentu mengenai pertemuan PAS dengan Umno yang digembar-gemburkan oleh media.

"Saya hairan kerana kenapa bila kita (PAS) buat perjumpaan dengan Umno sama ada rasmi atau tidak ianya dipolitikkan bahkan dijadikan isu sensitif.

"Sedangkan ada juga parti pembangkang lain yang buat pertemuan dengan Umno-BN, tetapi orang tak bising pun," ujarnya.

Tambahnya lagi, pertemuan yang diadakan bersama Umno-BN sebelum ini adalah perjumpaan biasa yang hanya menyentuh hal agama dan rakyat.

"Setakat ini, tidak ada sebarang rundingan berhubung hal untuk membentuk kerjasama dalam pemerintahan. Saya tegaskan di sini, ia hanya perbincangan bukan kerjasama," katanya lagi.

Malah katanya, beliau sedia maklum banyak pihak yang sangsi dengan isu ini kerana dalam keghairahan rakyat berhasrat mahu menukar kerajaan yang sedia ada PAS pula mahu mengadakan muzakarah dengan Umno-BN.

Nik Zawawi turut melahirkan kekesalan terhadap kekeliruan yang timbul mengenai isu ini sehingga mencetuskan polemik kepada senario politik tanah air.

Persidangan Dewan Ulama PAS Pusat dijangka berakhir jam 5 petang ini. - harakah
 
< Prev   Next >
© 2018 Muktamar PAS ke-54
Jabatan IT PAS Pusat