Utama arrow Dewan Muslimat arrow Muktamar Tahunan DMPP kali ke 48
Muktamar Tahunan DMPP kali ke 48 PDF Print E-mail
Ditulis Oleh JITM   
Friday, 15 August 2008

IPOH, 14 ogos - Majlis perasmian Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat Kali ke-48 telah bermula dengan  dengan ketibaan para perwakilan dan pemerhati pada pukul 7.30 pagi di tempat Muktamar iaitu di  Ballrom Hotel Hillcity, Ipoh, Perak.

Sementara menantikan majlis bermula, para VIP dan tetamu undangan mula mengambil tempat masing-masing di hadapan dewan.

Setelah tetamu kehormat yang akan merasmikan Majlis Perasmian Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat  (DMPP) kali ke-48 iaitu Naib Presiden PAS, YBhg Tuan Hj Mohamad bin Sabu tiba, majlis pun  dimulakan dengan ucapan aluan Pengerusi Majlis, alunan lagu Negaraku dan lagu rasmi PAS.

Untuk mendapat berkat ke atas majlis hari ini, pihak pengurusan telah menjemput Johan Qariah  Tilawah Al-Qur'an peringkat kebangsaan 2008, Saudari Sharifah Khasif Fadillah Syed Mohd.  Badiuzzaman bagi mengalunkan bacaan ayat suci Al-Qur'an dari Surah As-Saff ayat 7 hingga 14.

Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Puan Hajjah Wan Hasrina Wan Hassan, Penyelaras  Muktamar Tahunan DMPP dan juga Saudari Aiman Athirah Al-Jundi selaku Setiausaha DMPP.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan Ucapan Tema Muktamar DMPP kali ke-48 oleh Ketua DMPP, Ustazah Nuridah Mohd Salleh yang telah disampaikan dengan penuh bersemangat. 

Bagi menaikkan lagi semangat para perwakilan dan pemerhati, satu persembahan montaj mengenai DMPP  telah dipertontonkan.

Sementara itu satu persembahan khas multimedia turut ditayangkan bagi memperingati Allahyarhamah  Hajjah Hamidah Daud, Ahli Jawatankuasa DMPP yang telah kembali ke rahmatullah pada 3 Ogos 2008.

Suasana majlis menjadi sayu seketika dan semua hadirin sama-sama menghadiahkan bacaan Al-Fatihah  untuk allahyarhamah.

Kemuncak majlis perasmian Muktamar DMPP akhirnya disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tuan Hj  Mohamad bin Sabu.

Majlis kali ini turut menyaksikan pelancaran semula Majalah Muslimah.

Majlis kemudiannya diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada semua Ketua Nisa'setiap negeri serta vip yang hadir yang dilantik sebagai pemerhati pada pembentangan usul petangnya.

 
< Prev   Next >
© 2018 Muktamar PAS ke-54
Jabatan IT PAS Pusat